Perkhidmatan DaVita

Perkhidmatan Semasa DaVita:

  • Hemodialisis
  • Dialisis pelancong

Apakah Hemodialisis?

Sementara ginjal yang sihat mempunyai beberapa fungsi di dalam tubuh, tugasnya yang paling dikenali ialah menghasilkan air kencing. Apabila fungsi ginjal berkurangan, ginjal tidak lagi mampu menuras darah dan menghasilkan air kencing. Ini menyebabkan toksin terkumpul di dalam tubuh, bersama dengan bendalir berlebihan. Satu jenis terapi penggantian renal – bermakna rawatan yang mengganti fungsi ginjal – ialah hemodialisis. Hemodialisis ialah terapi yang menuras bahan kumuhan, menyingkirkan bendalir berlebihan dan mengimbangkan elektrolit (natrium, kalium, bikarbonat, klorida, kalsium, magnesium dan fosfat).

Bagaimanakah hemodialisis dijalankan?

Dalam hemodialisis, darah dikeluarkan daripada tubuh dan dituras melalui membran buatan manusia yang digelar pendialisis atau ginjal tiruan, kemudian darah yang dituras itu dkembalikan kepada tubuh. Orang biasa mempunyai 4.73 sehingga 5.67 liter darah; semasa dialisis hanya ½ liter berada di luar tubuh pada satu masa. Bagi menjalankan dialisis, sebuah akses perlu dicipta supaya darah boleh bergerak daripada tubuh ke pendialisis dan kembali kepada tubuh. Terdapat tiga jenis akses bagi hemodialisis: fistula arteriovena (AV), graf AV dan kateter vena sentral. Fistula AV ialah akses yang paling disyorkan oleh komuniti dialisis; bagaimanapun, anda dan doktor anda akan memilih akses yang terbaik untuk anda.

Apabila pesakit menjalani dialisis, jururawat atau juruteknik akan memeriksa tanda vital dan mencatatkan berat pesakit. Pertambahan berat akan menandakan jumlah bendalir berlebihan yang perlu disingkirkan daripada pesakit semasa rawatan tersebut. Pesakit kemudian “disambung kepada mesin”. Pesakit dengan akses vaskular (fistula AV atau graf AV) akan dicucuk dengan 2 buah jarum pada akses mereka; satu jarum mengeluarkan darah daripada tubuh, dan satu lagi jarum mengembalikannya. Pesakit dengan kateter vena sentral akan ada dua tiub daripada akses mereka disambung kepada tiub yang pergi kepada pendialisis dan kembali kepada tubuh. Mesin dialisis diprogram dan rawatan bermula.

Darah sebenarnya tidak melalui mesin dialisis tersebut. Mesin dialisis itu bagaikan sebuah komputer besar dan sebuah pam. Ia memantau aliran darah, tekanan darah, jumlah bendalir yang disingkirkan dan maklumat penting lain. Ia mencampurkan dialisat, atau larutan dialisis, iaitu rendaman bendalir yang masuk ke dalam pendialisis. Bendalir ini membantu menarik toksin daripada darah, dan kemudian bendalir ini dibuang. Mesin dialisis mempunyai pam darah yang memastikan darah mengalir dengan menghasilkan tindakan mengepam ke atas tiub yang membawa darah daripada tubuh ke pendialisis dan kembali kepada tubuh. Mesin pendialisis juga mempunyai banyak ciri keselamatan bagi membantu para jururawat dalam menjaga pesakit.

Bagaimanakah hemodialisis berfungsi?

Pendialisis itulah kunci kepada hemodialisis. Pendialisis digelar ginjal tiruan kerana ia menuras darah – tugas yang dilakukan sendiri oleh ginjal yang sihat. Pendialisis ialah tiub berongga plastik yang panjangnya sekitar satu kaki dan berdiameter tiga inci yang mengandungi banyak penuras. (Pendialisis dibuat dalam saiz berbeza supaya doktor boleh memberi preskripsi bagi yang paling sesuai untuk pesakit mereka.) Terdapat dua bahagian pada pendialisis itu: bahagian bagi dialisat dan bahagian bagi darah. Kedua-dua bahagian ini dipisahkan oleh membran separa telap supaya ia tidak bercampur. Membran separa telap mempunyai lubang mikroskopik yang hanya membenarkan sesetengah bahan merentasi membran tersebut. Oleh sebab ia separa telap, membran itu membenarkan air dan bahan kumuhan untuk merentasinya tetapi menghalang sel darah daripada merentasinya.

Dialisat, juga dikenali sebagai bendalir dialisis, larutan dialisis atau rendaman dialisis, ialah larutan air tulen, elektrolit dan garam, seperti bikarbonat dan natrium. Tujuan dialisat ialah menarik toksin daripada darah ke dalam dialisat itu. Ini berfungsi melalui satu proses yang digelar resapan. Di dalam darah pesakit hemodialisis, ada kepekatan bahan kumuhan yang tinggi, dan dialisat mempunyai kepekatan bahan kumuhan yang rendah. Disebabkan perbezaan kepekatan ini, bahan kumuhan akan bergerak melalui membran separa telap itu bagi menghasilkan jumlah yang sama pada kedua-dua belah bahagian. Larutan dialisis itu kemudian dibuang bersama-sama dengan bahan kumuhan. Elektrolit di dalam larutan dialisis itu juga digunakan bagi mengimbangkan elektrolit di dalam darah pesakit. Bendalir berlebihan disingkirkan melalui proses yang digelar penurasan. Bendalir itu ditolak oleh tekanan yang lebih tinggi di bahagian darah berbanding bahagian dialisat.

Berapa kerapkah hemodialisis dijalankan?

Darah perlu mengalir melalui pendialisis selama beberapa jam bagi membersihkan darah dengan secukupnya dan menyingkirkan bendalir berlebihan daripada tubuh. Hemodialisis tradisional yang dijalankan di pusat biasanya dilakukan tiga kali seminggu selama 3 hingga 5 jam setiap sesi. Doktor anda akan menentukan tempoh rawatan anda tetapi tempoh yang paling biasa ialah 4 jam. Berbincanglah dengan doktor anda tentang tempoh hemodialisis anda. Ginjal yang sihat berfungsi 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan dialisis perlu melakukan tugas itu dalam masa sekitar 12 jam sahaja seminggu.

Kelebihan dan Kekurangan Hemodialisis

Hemodialisis ialah rawatan yang berkesan bagi mereka yang mengidap penyakit renal peringkat akhir. Namun, hemodialisis sahaja tidak akan menyediakan rawatan yang lengkap bagi pengidap kegagalan ginjal. Pengehadan diet dan bendalir perlu dipatuhi, dan ubat-ubatan mungkin perlu diambil bagi mengganti fungsi ginjal yang lain, misalnya mengawal atur tekanan darah dan merangsangkan penghasilan sel darah merah bagi mencegah anemia.

Manfaat hemodialisis termasuklah hakikat bahawa rawatan individu tersebut akan dijalankan di sebuah pusat dialisis oleh profesional yang terlatih. Mereka boleh menghabiskan masa semasa dialisis dengan tidur, membaca, menulis, menonton televisyen, mendengar muzik atau melakukan aktiviti senyap yang lain. Terdapat empat hari seminggu apabila mereka tidak perlu menjalani dialisis. Kekurangan pula termasuklah hakikat bahawa individu tersebut perlu pergi dan pulang daripada hemodialisis tiga kali seminggu dan, apabila mengembara, perlu mengatur bagi menjalani dialisis di sebuah pusat lain.

Selain daripada itu, pengubahsuaian diet juga perlu, termasuklah mengehadkan makanan yang mengandungi fosforus, kalium dan natrium, dan minum jumlah bendalir yang terhad. Sesetengah orang melaporkan berasa “amat letih” selepas hemodialisis dan pulang untuk tidur sebentar.

Carilah sebuah pusat dialisis berhampiran anda

Dialisis Bagi Pelancong

DaVita menawarkan perkhidmatan dialisis kepada orang yang melancong ke Malaysia dari negara lain. Idea bagus sekiranya anda menelefon dahulu dan memastikan pusat yang akan anda kunjungi itu mempunyai semua maklumat yang mereka perlukan dan supaya anda boleh pastikan anda dapat menyediakan semua dokumen yang diperlukan terlebih dahulu.

Carilah sebuah pusat berhampiran destinasi anda, atau rancang perjalanan anda berdasarkan lokasi pusat. Anda juga boleh menghubungi pusat dialisis di tempat tinggal anda atau meminta bantuan Pegawai Perhubungan Pesakit anda.

Anugerah & Pengiktirafan

Kami berasa amat terharu serta terdorong dengan sokongan dan pengiktirafan yang kami terima bagi penjagaan pesakit, inovasi klinikal dan perniagaan serta warga korporat.

Paparan Anugerah

Hasil Klinikal

Penjagaan pesakit di DaVita bermula dengan hasil klinikal yang konsisten dan positif.

Temui Pasukan Kami

Perkhidmatan DaVita

Perkhidmatan DaVita Ambil langkah pertama bagi memahami penyakit ginjal dan cari pilihan rawatan yang sesuai untuk anda.

Carian Rawatan
Back to Top